RSS
Post Icon

Cemburumu Cemburuku jua!!

SETIAP individu tentu pernah berasa cemburu. Tidak kiralah dalam konteks perhubungan cinta antara lelaki dan wanita, keluarga atau di kalangan kawan-kawan. Meniti alam dewasa, mungkin pernah antara kita merasa cemburu dengan teman sekerja atau tertanya-tanya mengapa dirinya lebih berjaya.

Sama ada rasa cemburu akhirnya mendorong diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga membawa kepada hasad dengki, situasi sebegini dianggap lumrah kehidupan. Rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung merapi yang menanti waktu untuk meletus, konflik cemburu boleh bertukar menjadi tragedi lebih dasyat.

Apabila anda dirundung rasa cemburu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ketepikan perasaan hasad dengki yang boleh memakan diri. Sama ada dalam hubungan cinta ataupun konflik dengan rakan-rakan, pastikan anda sentiasa berfikiran positif menangani setiap isu mendatang.

Tarik nafas dalam-dalam kerana ia mampu memberi motivasi dan semangat baru untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Andai sudah redakan diri, apa kata minum air untuk memastikan diri tenang.
Jangan bangkitkan konflik, sebaliknya hindari daripada berdepan dengan individu yang anda tidak gemari. Jauhi mereka seketika bagi membolehkan anda mampu mengumpul kekuatan serta semangat baru dalam hidup.

Pilihan bersendiri seharusnya dimanfaatkan untuk berehat dan mencari sedikit ketenangan. Jika tidak mahu diri tersisih atau sunyi, sibukkanlah diri dengan bertemu sahabat lama untuk meredakan tekanan.
Dekatkan diri dengan Yang Maha Esa kerana itulah sumber kekuatan ketika berdepan situasi sukar.

Bagaimana mahu hentikan rasa cemburu

1. Ketahui punca
Tiada sebab cemburu jika kalau kita tidak tahu puncanya. Selidik mengapa anda cemburu hingga mencetuskan rasa tidak puas hati, tersinggung atau kecewa dengan orang sekeliling. Tentu ada sebab mengapa anda kecil hati.

2. Tarik nafas dalam-dalam
Jangan cepat melenting, sebaliknya fikir secara positif dengan menarik nafas dalam-dalam biarpun ketika berdepan dengan individu yang menyinggung hati anda. Cuba jadi individu profesional walaupun ketika berdepan dengan orang yang anda sudah jelak.

3. Menangis semahunya (lelaki kalau nak menangis pun ok)
Tidak salah mengekspresi diri dengan menangis. Pastikan anda tidak menangis di depan ‘lawan’, sebaiknya cari waktu terbaik untuk menyendiri atau bersama dengan orang yang anda percaya. Menangis sepenuh hati mampu meredakan tekanan.

4. Berfikiran positif
Buang jauh-jauh unsur negatif dalam diri, sebaliknya kembalikan aura positif. Cuba alih rasa cemburu dengan memikirkan benda yang baik-baik. Ibarat kata orang belajarlah memujuk diri.

5. Berhenti untuk membandingkan diri anda dengan orang lain
Alamat memang tidak akan habis cemburu jika sibuk membandingkan nasib anda dengan orang lain.

6. Jangan kecewa dengan diri sendiri
Setiap orang mempunyai kelemahan diri dan belajarlah mengakui tiada siapa yang sempurna. Positif dalam diri resipi untuk kurang berasa cemburu.

7. Percaya diri
Ketepikan rasa sakit hati, lantas percaya kepada bakat dan rezeki yang mendatang. Tidak perlu menjadi orang lain atau mempunyai perasaan hasad dengki yang akhirnya memakan diri.

8. Bekerja keras
Motivasi diri dengan berazam mengubah personaliti sedia ada. Ibarat menjadi lebih baik untuk hari esok berbanding hari ini. Tumpuan berikutnya untuk menjadi insan berkualiti yang menjadi rebutan semua orang. Akhir sekali, sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan rezeki dan kesihatan yang baik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

cikyanz said...

cemburu itu tandanya syg..

Anonymous said...

betul3..

Post a Comment